Monday, May 14, 2012
Yakin diri, adalah satu jati diri yang seharusnya ada dalam setiap individu. Yakin diri disini tidak bermaksud meninggi diri tetapi lebih kepada kepercayaan terhadap keupayaan sendiri dalam melakukan sesuatu. Walau apapun matlamat yang ingin anda capai, jika anda yakin dengan potensi dan kelebihan diri sendiri, semoga hasil yang anda hasilkan pasti hebat. Di dalam artikel ini dikongsi 10 tips meningkatkan keyakinan diri yang boleh anda cuba.
1. Mulakan hari anda dengan positif
Tiada apa yang lebih mengecewakan apabila anda memulakan hari anda dengan perasaan yang tidak elok. Kadangkala kerana marahkan kepada pemandu lain di jalan raya, diri anda yang menerima kesan buruknya. Ia boleh menghancurkan mood anda sepanjang hari tersebut! Jadilah seorang yang positif dan jangan biarkan perkara-perkara yang remeh menjadi penggugat hari anda.
2. Simpan matlamat harian anda
Setiap hari ketika anda bangun dari tidur anda harus mempunyai matlamat yang anda ingin lakukan pada hari tersebut. Seeloknya anda harus mempunyai senarai “to-do list” yang anda tuliskan sebelum anda tidur setiap hari. Senarai itu harus mengandungi segala perkara yang anda ingin lakukan apabila anda bangun tidur nanti. Dengan setiap tugasan yang berjaya anda lakukan, sama ada anda sedar ataupun tidak, anda telah meningkatkan keyakinan anda.
3. “Hadiahkan” diri anda
Untuk setiap tugasan besar yang berjaya anda siapkan, hadiahkan diri anda dengan perkara-perkara yang anda sukai. Sebagai contoh jika anda berjaya menyiapkan sebuah manuskrip, tulisan, ataupun jika anda berjaya dalam peperiksaan anda hadiahkan diri anda dengan melakukan perkara yang anda suka seperti melancong, menonton wayang, ataupun anda boleh beli barangan fizikal sebagai ingatan. Dengan ini anda akan lebih berkeyakinan dalam meneruskan tugasan seterusnya.
4. Tekankan kepada penampilan anda
Tentu ada sebabnya kenapa sesetengah orang yang berjaya kelihatan segak dan berpenampilan menarik. Ia kerana penampilan yang meyakinkan dapat memberikan anda sesuatu yang “extra” dalam tindakan anda. Anda tidak perlu untuk membelanjakan wang yang banyak untuk membeli pakaian yang berjenama ataupun pergi ke salun kecantikan untuk kelihatan menarik. Memadai dengan mengenakan pakaian yang anda rasa selesa dan kelihatan kemas.
5. Pilih sahabat yang positif
Rakan dan sahabat memainkan peranan yang penting dalam kehidupan seorang. Sokongan kuat rakan dapat membantu anda mencapai kejayaan. Sahabat yang baik adalah sahabat yang memberi nasihat dan galakan kepada kita. Sahabat yang positif akan memberikan kita keyakinan!
6. Bergaul dengan masyarakat
Ada sesetengah dari kita tidak suka bergaul dengan masyarakat dan lebih suka menjadi kera sumbang. Ia bukan sahaja menyebabkan kita tidak disenangi malah boleh manjatuhkan keyakinan diri kita lebih-lebih lagi ketika berhadapan dengan orang lain. Dengan bergaul bersama masyarakat, rakan-rakan anda boleh meningkatkan “social skills” anda dan cara anda berinteraksi dengan orang lain. Dengan ini anda akan lebih yakin diri.
7. Dapatkan hobi atau pelajari skill baru
Mempunyai hobi ataupun mempelajari skill tertentu banyak membantu dalam miningkatkan tahap keyakinan dalam diri kita. Apabila anda mempunyai hobi tentu sekali kita akan berasa seronok dan teruja. Perasaan ini dapat memberikan kita keyakinan tambahan pula apabila kita dapat berinteraksi dengan mereka yang mempunyai hobi yang sama.
8. Bersenam dan mengamalkan hidup sihat
Sama ada anda percaya ataupun tidak bersenam dapat memberikan keyakinan pada diri kita. Bukan sahaja dari segi penampilan tetapi juga secara dalaman. Apabila kita bersenam kita akan mengeluarkan hormon – testosteron dan endorphin yang membuatkan kita rasa hebat dan di dalam keadaan positif. Ia juga dapat menyihatkan tubuh badan kita dan memberikan kita tenaga dalam aktiviti harian.
9. Membaca dan menuntut ilmu
Menuntut ilmu dengan membaca atau menghadiri kelas dapat memberikan kita keyakinan apabila bercakap. Perbanyakkan membaca untuk membolehkan kita bercakap dengan pelbagai latar belakang orang yang mempunyai pelbagai kepakaran. Dengan itu kita tidak akan kekok apabila berbual dengan mereka. Dengan membaca kita dapat memperolehi “modal” dalam berbicara.
10. Sentiasa melihat kebelakang
Kita dinasihatkan untuk sentiasa melihat kebelakang apabila mengalami sebarang kesusahan ataupun kepayahan hidup. Ini kerana pasti ada mereka yang lebih susah daripada kita. Dengan ini kita dapat merefleksi diri dan membina keyakinan bahawa walau apapun yang berlaku pasti ada mereka yang lebih teruk daripada kita. Jadikan itu sebagai satu motivasi untuk menjadi orang yang lebih baik.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment